Thursday, May 13, 2010

PARKINSON

Penyakit Parkinson bukannya sejenis penyakit berjangkit. Penyakit Parkinson adalah keadaan di mana daya kawalan otot seseorang itu merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri.

Gejala Parkinson berlaku secara senyap dan kebanyakan pesakit tidak menyedari mereka menghadapi masalah ini. Biasanya, pasangan (suami atau isteri) adalah orang pertama menyedari gejala ini.

Punca Parkinson yang dikenali sebagai penyakit orang tua masih belum diketahui secara tepat tetapi dipercayai ada kaitan rapat dengan keturunan, dan hampir 10 peratus pesakit mewarisinya daripada keluarga mereka. Manakala 90 peratus lagi masih misteri, walaupun disyaki ia ada kaitan dengan faktor alam sekitar, terutama kandungan racun serangga dan rumpai dalam makanan.

Penyakit Parkinson bukannya gejala semula jadi pada orang tua dan pengidapnya boleh menikmati tahap kesihatan yang baik sekiranya mendapatkan rawatan. Adalah penting untuk tidak cepat putus asa atau berasa rendah diri kerana pengidap penyakit Parkinson masih ada peluang untuk menjalani kehidupan sempurna.

Punca:-
* Keturunan (10 peratus)
* Tidak diketahui (90 peratus)

Gejala:-
* Tangan, kaki atau badan menggeletar
* Masalah pergerakan tidak normal (dyskinesia)
* Kepala, tangan dan kaki bergoyang seperti menari
* Serangan bermula pada sebelah badan
* Penyakit bertambah buruk jika pesakit mengalami tekanan perasaan

Semua orang tua - lelaki dan perempuan berumur melebihi 60 tahun - mempunyai risiko sama untuk mendapat Parkinson dengan nisbah dua kes bagi 1,000 penduduk, dan dianggarkan terdapat sekitar 10,000 rakyat Malaysia menghidapinya.

Kajian mendapati kira-kira lima peratus pesakit mula diserang Parkinson sebelum mencecah umur 40 tahun. Malah, dianggarkan jumlah pesakit melonjak dalam tempoh 10 tahun berdasarkan jangka hayat penduduk yang semakin panjang.

"Sehingga kini penawar Parkinson belum ditemui. Ubat di pasaran hanya mampu mengawal dan meredakan gejala penyakit. Keadaan pesakit akan bertambah berat dari setahun ke setahun, walaupun setelah mendapat rawatan. Selepas lima tahun, pergerakan pesakit semakin perlahan dan sukar.

"Ini menyebabkan ramai pesakit hilang harapan untuk hidup, sedih dan tertekan. Sungguhpun begitu, mereka tetap perlu mengambil ubat. Keberkesanan ubat biasanya berkurangan selepas lima tahun.

Gejala Parkinson boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu masalah pergerakan badan dan dyskinesia (pergerakan tidak normal misalnya kepala, tangan atau kaki bergoyang seperti menari).

Pesakit yang tidak mendapatkan rawatan lebih cepat menemui ajal kerana komplikasi lain, termasuk mudah diserang penyakit lain seperti jangkitan paru-paru atau terjatuh akibat tiada keseimbangan badan.

Kaedah rawatan terbahagi kepada dua, iaitu am dan khusus. Rawatan am termasuk memberi sokongan moral, fisioterapi (senaman menguatkan otot dan pergerakan badan yang licin) serta amalan pemakanan seimbang bagi mengekalkan kekuatan otot dan anggota badan.

Manakala rawatan khusus membabitkan dua jenis pembedahan, iaitu rangsangan otak dalaman dan pembedahan otak pallidotomy. Pembedahan rangsangan otak dalaman, iaitu penanaman bateri khas di bawah kulit dada, bertujuan memberi rangsangan kepada otak melalui elektrod halus yang disambungkan ke dua bahagian di otak, iaitu subthalamic nucleus (STN) atau globus pallidus interna (GPI) yang terlalu aktif hingga mendatangkan kesan menggeletar.

Aliran elektrik pada satu atau kedua-dua bahagian ini akan membantu menyembuhkan pesakit daripada gejala secara serta-merta. Pembedahan otak pallidotomy pula membabitkan sinaran thermal (haba) yang akan mengurangkan keaktifan globus pallidus interna (GPI).

Bagaimanapun, hanya pesakit yang tenat (sekurang-kurangnya 10 tahun menghidapi penyakit) dibenarkan menjalani pembedahan kerana mereka berdepan risiko lumpuh, kejang otot, kebas, buta dan suara menjadi garau selepas pembedahan.

Secara amnya, pembedahan otak hanya perlu jika pesakit masih tidak mampu berjalan sendiri, walaupun menerima dos ubat yang sangat tinggi, yang biasanya berlaku setelah sekurang-kurangnya lima tahun, iaitu apabila penyakit sudah melarat. Pada peringkat ini, risiko pembedahan boleh diterima kerana ubat yang diambil tidak berkesan lagi.

No comments:

Post a Comment